WANG TIDAK PATUH SYARIAH

DEFINISI

Wang atau harta tidak patuh syariah sebagai harta haram yang diperolehi melalui jalan-jalan yang tidak syarie iaitu mengambil harta yang terdapat larangan ke atasnya, atau terdapat balasan (had) ke atas pelakunya, atau terdapat janji buruk berkaitannya, atau yang dinamakan sebagai batil oleh Allah SWT.

PANDANGAN ULAMA MENGENAI HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

Pandangan Imam al-Syafie

Syariah telah melarang lapan perkara pokok, iaitu:

Riba, gharar, perjudian, penipuan, rampasan, ihtikar (monopoli barangan), rasuah dan perniagaan yang tidak patuh syariah serta mendatangkan kemudaratan — seperti arak, babi, bangkai, makanan yang memudaratkan, pendapatan daripada pelacuran dan seumpamanya.

Pandangan fuqaha’ mutakhir

Kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah sebagai:

Harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

DALIL PENSYARIATAN BERKAITAN HARTA TIDAK PATUH SYARIAH

  1. Surah al-Baqarah: 188

    وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

    Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

  2. Surah al-Baqarah: 275

    الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

    Yang bermaksud: “Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu… Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

  3. Surah al-Nisa’: 29

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ

    Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

  4. Surah al-Ma’idah: 90

    يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

    Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

  5. Al-Hadis — Riwayat al-Bukhari

    إنَّ الحلالَ بيِّنٌ وإنَّ الحرامَ بيِّنٌ وبينهما أمورٌ مُشتبِهاتٌ لا يعلمهنَّ كثيرٌ من الناس

    Hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. Yang bermaksud: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah, maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya…”

KAEDAH MELUPUS WANG TIDAK PATUH SYARIAH

Imam al-Nawawi telah menukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserahkan (dibelanjakan) untuk tujuan maslahah umum seperti membiayai pembinaan jambatan, jalan raya dan seumpamanya.

KAEDAH FIQH

Timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimanakah ianya dapat dijernihkan?

“Apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram.”

Dalam konteks ini, apa yang jelas adalah sesuatu yang halal tersebut (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) hendaklah dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum. Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya.

PENGGUNAAN DAN PENGAGIHAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH

Agihan bantuan Baitulmal MAIS kepada masyarakat.

Keharusan penggunaan harta yang haram untuk tujuan maslahah umum dapat dilihat berdasarkan peristiwa sewaktu Rasulullah SAW menyuruh menyedekahkan kambing yang diberikan kepadanya. Kambing tersebut diambil dari sumber yang haram, lalu Rasulullah SAW menyuruh kambing tersebut disembelih dan diberikan kepada tawanan perang. Sesuatu harta yang diperolehi dari sumber yang haram juga tidak wajar dimusnahkan terutamanya sekiranya harta-harta tersebut mempunyai manfaat.

Walau bagaimanapun, dalam apa jua keadaan orang yang bersedekah dengan harta yang haram atau syubhah ke jalan kebajikan tetap tidak mendapat pahala sedekah, sebaliknya akan mendapat pahala dari sudut lain iaitu beroleh pahala disebabkan usahanya untuk melupuskan harta yang haram dan tidak menggunakan harta tersebut untuk dirinya.

KEPUTUSAN DAN KETETAPAN BERKAITAN PENYALURAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 1971

Keputusan Muzakarah Kali Ke-3 pada 21hb. Jun 1971 yang telah memutuskan:

  1. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini.
  2. Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang Muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan maslahah umum.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam 2009

Melalui keputusan Muzakarah ke-87 pada 23–25 Jun 2009, harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah adalah haram dan perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal.

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti

Baitulmal telah disenaraikan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti dalam ketetapannya berkenaan Senarai Sekuriti Patuh Syariah pada 20hb. November 2008, yang antara lain menyebut:

  1. “Sekuriti patuh syariah” yang kemudiannya bertukar status kepada “tidak patuh syariah” — sebarang lebihan keuntungan modal yang diperoleh daripada penjualan selepas hari pengumuman pada harga pasaran yang lebih tinggi daripada harga penutup pada hari pengumuman hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal.
  2. Sekuriti patuh syariah — sebarang keuntungan dalam bentuk keuntungan modal atau dividen yang diperoleh ketika atau selepas pelupusan sekuriti berkenaan hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal. Pelabur hanya berhak untuk memperoleh kembali kos pembelian asal sahaja.

Titah DYMM Sultan Selangor

Titah semasa Perasmian Dewan Undangan Negeri Selangor pada 10 Mac 2009:

“Beta juga dengan sukacitanya mengambil kesempatan ini menyeru kerajaan negeri menyokong usaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memastikan penyaluran wang syubhah daripada mana-mana orang dan syarikat-syarikat yang beroperasi di Selangor ke akaun Baitulmal, MAIS. Pengumpulan wang syubhah oleh MAIS ini akan digunakan untuk kepentingan umum masyarakat seperti pembinaan kemudahan awam yang manfaatnya kepada orang Islam dan juga bukan Islam.”

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Keputusan Mesyuarat Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

  1. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
  2. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.

PERANAN MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak. Salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah.

Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Serahan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor, atau didepositkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad no. akaun 12-038-01-009567-6, atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor”, atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS di fpxv2.mais.gov.my. Semoga dengan penyucian harta ini diterima dan diberkati Allah SWT.

SENARAI SEKURITI PATUH SYARIAH

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) secara berkala meluluskan senarai sekuriti yang telah diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah, yang disenaraikan di Bursa Malaysia. MPS, melalui SC, akan terus menyemak status Syariah sekuriti yang tersenarai pada asas tahunan, berdasarkan penyata kewangan teraudit tahunan syarikat yang terkini. MPS mengguna pakai pendekatan kuantitatif dua peringkat — penanda aras aktiviti perniagaan dan penanda aras nisbah kewangan — dalam menentukan status Syariah bagi sekuriti tersenarai.

Tangan memegang wang tunai.

SEBARANG PERTANYAAN, HUBUNGI KAMI

Sektor Baitulmal, Majlis Agama Islam SelangorTingkat 10 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul EhsanTel: 03-5514 3773 / 3772 · Faks: 03-5512 4042 · E-mel: [email protected]