WANG ORANG BERHUTANG

DEFINISI HUTANG

Hutang atau al-qard merujuk kepada penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya akan digantikan kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan.

DALIL PENSYARIATAN HUTANG

Al-Quran — Surah al-Baqarah: 282

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).” (Surah al-Baqarah: 282)

Al-Hadis — Riwayat al-Tirmizi

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نفس المؤمن مُعَلّقة بدَيْنِه حتى يُقْضى عنه

Yang bermaksud: “Jiwa seseorang yang beriman tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

HUKUM MEMBERI HUTANG DAN BERHUTANG

Hukum memberi hutang adalah sunat dan sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah SWT. Ia merupakan satu amalan yang mulia jika tujuannya untuk menolong meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup. Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang. Firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (Surah al-Ma’idah: 2)

Hukum berhutang pula adalah harus. Walau bagaimanapun dalam lain-lain perkara, hukum berhutang berubah mengikut keadaan. Jika seseorang itu benar-benar kesuntukan dan memerlukan wang untuk membiayai keluarganya, maka wajib untuk dia berhutang. Manakala hukum berhutang bagi pemberi hutang (pemiutang) adalah berubah mengikut keadaan dalam tiga bentuk iaitu:

Haram
Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya;
Makruh
Jika pemiutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau menunjuk-nunjuk, ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut; dan
Wajib
Jika pemiutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.

TANGGUNGJAWAB PENGHUTANG

Allah SWT memerintahkan agar kita menunaikan amanah. Hutang merupakan amanah yang terpikul di atas bahu penghutang. Firman Allah SWT:

فَإِنْ أَمِنَ بَعْضُكُمْ بَعْضًا فَلْيُؤَدِّ الَّذِي اؤْتُمِنَ أَمَانَتَهُ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

Yang bermaksud: “Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.” (Surah al-Baqarah: 283)

Manakala dalam Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisa’: 58)

ANCAMAN UNTUK ORANG YANG ENGGAN MEMBAYAR HUTANG

  1. Mati dalam keadaan berhutang, pahala kebaikannya menjadi ganti.

    Seseorang yang mati dalam keadaan hutangnya masih belum dilunaskan dan waris-warisnya tidak melangsaikan melalui harta pusaka si mati, maka pahala kebaikan si mati akan digantikan untuk membayar hutang tersebut. Hadis daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    ومن مات وعليه دَينٌ فليسَ ثَمَّ دينارٌ ولا درهمٌ ، ولكنَّها الحسناتُ والسيِّئاتُ

    Yang bermaksud: “Sesiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang, maka di hari Akhirat tidak ada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan.” (Riwayat Abu Daud)

  2. Urusan orang yang berhutang akan kekal tergantung.

    Kewajipan membayar hutang jelas terpikul di bahu orang yang berhutang dan tidak akan terlepas sekalipun. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    نفسُ المؤمنِ مُعلَّقةٌ بدَيْنِه حتَّى يُقضَى دَيْنُه

    Yang bermaksud: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.” (Riwayat At-Tirmidzi)

  3. Orang yang berniat untuk tidak mahu melunaskan hutang akan dihukum sebagai pencuri.

    Hadis daripada Suhaib bin Sinan ar-Rumi r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

    Yang bermaksud: “Siapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah)

  4. Orang yang berkemampuan tetapi melengahkan pembayaran hutang dianggap sebagai zalim.

    Bagi orang-orang yang berhutang tetapi melengahkan pembayarannya sedangkan dia mampu untuk membayarnya adalah termasuk sebagai orang yang zalim. Ini jelas berdasarkan daripada hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    مَطلُ الغنيِّ ظلمٌ

    Yang bermaksud: “Penundaan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah suatu kezaliman.” (Riwayat al-Bukhari)

  5. Dosa hutang tidak akan terampun walaupun mati syahid.

    Hadis daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إلَّا الدَّيْنَ

    Yang bermaksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim)

  6. Orang yang berhutang tergolong sebagai pendusta.

    Orang yang berhutang dan mempunyai niat untuk tidak membayar hutang biasanya akan lebih cenderung untuk berdusta. Peringatan yang jelas telah diberikan oleh Rasulullah SAW melalui hadis daripada Aisyah r.a.:

    اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بكَ مِنَ المَأْثَمِ والمَغْرَمِ … إنَّ الرَّجُلَ إذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ، ووَعَدَ فأخْلَفَ

    Yang bermaksud: “Nabi S.A.W biasa berdoa di akhir solat: (Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang).” Lalu ada yang berkata kepada baginda SAW, “Kenapa engkau sering meminta perlindungan dalam masalah hutang?” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Jika orang yang berhutang apabila dia berkata, dia akan sering berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhari)

TANGGUNGJAWAB WARIS MELUNAS HUTANG SI MATI

Seseorang yang mempunyai hutang kemudian meninggal dunia, hutangnya hendaklah dilangsaikan oleh waris-warisnya atau wasi atau pentadbir yang dilantik melalui harta pusakanya. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” (Surah al-Nisa’: 11)

Seorang bapa memegang tangan anaknya.Siluet seorang Muslim berdoa dengan tasbih.

Menurut Dr. Mohd Zamro Muda dan Almarhum Prof. Madya Mohd Ridzuan Awang dalam Undang-Undang Pusaka Islam, hikmah didahulukan pembayaran hutang daripada pelaksanaan wasiat ialah hutang tetap menjadi beban kepada orang berhutang sama ada ketika hidup atau sesudah mati. Manakala wasiat adalah amal kebajikan semata-mata dan tiada kaitan dengan pihak ketiga.

Menurut Jumhur Ulama, hutang terhadap Allah tidak gugur walaupun seseorang itu meninggal dunia. Ia perlu dijelaskan menggunakan harta pusaka si mati walaupun tidak diwasiatkan supaya dijelaskan. Ia termasuklah zakat, fidyah, kafarah dan haji fardu. Mazhab Shafie berpendapat bahawa hutang terhadap Allah perlu didahulukan pembayarannya sebelum hutang sesama manusia.

Namun, sekiranya si mati tidak meninggalkan sebarang harta atau harta yang dimilikinya tidak mencukupi untuk membayar hutang yang ditinggalkan, maka waris tidak harus untuk membayar hutang-hutang si mati tersebut, sebagaimana firman Allah SWT: وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ — “Dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain.” (Surah al-An’am: 164). Sekiranya waris menolong membayar hutang itu, maka ia termasuk sebagai perbuatan ihsan kepada si mati.

TANGGUNGJAWAB PENGHUTANG MELUNAS HUTANG WALAUPUN PEMIUTANG TELAH MENINGGAL DUNIA

Dalam pembahagian harta pusaka orang Islam, hutang penghutang terhadap si mati adalah termasuk dalam definisi harta pusaka. Ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada harta, hak dan manfaat. Hutang adalah harta si mati yang dipinjam dan wajib dikembalikan semula kepada ahli waris sebagai harta pusaka.

Dalam hal ini, wajib kepada penghutang untuk membayar hutang tersebut kepada ahli waris si mati kerana hutang tersebut telah menjadi sebahagian daripada harta pusaka. Oleh itu, hutang tersebut tertakluk kepada pembahagian secara faraid yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.

Catatan hutang di atas meja.

PERANAN BAITULMAL KE ATAS WANG ORANG BERHUTANG

Hutang pada asalnya hendaklah dibayar kepada pemiutang dalam apa jua keadaan. Namun, kadang-kala berlaku keadaan di mana hutang tidak dapat dibayar kepada pemiutang oleh kerana pemiutang atau warisnya gagal dikesan. Lantaran itu, Baitulmal mengambil peranan ini untuk merwar-warkan kepada masyarakat khususnya umat Islam supaya sentiasa peka akan perihal hutang masing-masing.

Di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, “Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah”, dan Seksyen 81(2) enakmen yang sama memperuntukkan bahawa Baitulmal hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang terakru atau disumbangkan kepada Baitulmal. Kewajipan melunaskan hutang juga terkandung di bawah Subseksyen 13(1) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

Serahan wang orang berhutang boleh dibuat secara tunai di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau di pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor, atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor”, atau pindahan wang melalui sistem e-MAIS.

SEBARANG PERTANYAAN, HUBUNGI KAMI

Sektor Baitulmal, Majlis Agama Islam SelangorTingkat 10 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul EhsanTel: 03-5514 3773 / 3772 · Faks: 03-5512 4042 · E-mel: [email protected]