SEDEKAH

DEFINISI SEDEKAH

Sedekah mempunyai maksud yang cukup luas dalam Islam. Secara mudahnya, ia boleh didefinisikan sebagai pemberian oleh seseorang kepada orang lain yang memerlukan, dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

DALIL PENSYARIATAN SEDEKAH

Al-Quran — Surah Al-Baqarah: 271

Firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ

Yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik. Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah: 271)

Al-Quran — Surah Al-Hadid: 18

Firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضاً حَسَناً يُضَاعَفُ لَهُمْ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya.” (Surah Al-Hadid: 18)

KELEBIHAN SEDEKAH

Sedekah mempunyai banyak kelebihan, antaranya:

  1. Allah SWT memuliakan orang yang bersedekah

    Allah SWT menjanjikan banyak keutamaan dan balasan kepada mereka yang suka memberi. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    اليد العليا خير من اليد السفلى

    Yang bermaksud: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (Riwayat al-Bukhari)

  2. Sedekah menghapuskan dosa

    Hadis daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    والصدقةُ تُطفِيءُ الخطيئةَ كما تُطفِيءُ الماءُ النارَ

    Yang bermaksud: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat al-Tirmizi) Penghapusan dosa dengan sebab sedekah mestilah disertai dengan taubat atas dosa yang telah dilakukan.

  3. Allah melipatgandakan pahala kepada orang yang bersedekah

    Firman Allah SWT:

    مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ

    Yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.” (Surah Al-Baqarah: 261)

  4. Harta orang yang suka bersedekah tidak akan berkurang

    Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا

    Yang bermaksud: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (Riwayat Muslim)

  5. Orang yang bersedekah mendapat naungan di hari akhirat

    Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW menyebut tujuh golongan yang akan mendapat naungan di hari akhirat, salah satunya:

    ورجلٌ تصدَّق بصدقةٍ فأخفاها حتى لا تعلمَ شمالُه ما تنفقُ يمينُه

    Yang bermaksud: “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Riwayat al-Bukhari)

  6. Terdapat pintu syurga khusus bagi orang yang bersedekah

    Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    ومن كان من أهل الصدقة دُعي من باب الصدقة

    Yang bermaksud: “Jika dari golongan yang gemar bersedekah akan dipanggil dari pintu sedekah.” (Riwayat al-Bukhari)

  7. Sedekah menjauhkan seseorang dari api neraka

    Sedekah itu walaupun sedikit, tetapi mampu menjauhkan kita dari api neraka. Hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    اتقوا النارَ ولو بشقِّ تمرةٍ

    Yang bermaksud: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.” (Riwayat Ahmad)

BAGAIMANA JIKA ORANG MISKIN INGIN BERSEDEKAH?

Umat Islam tidak kira kaya atau miskin digalakkan bersedekah mengikut kemampuannya. Bagaimanapun, orang miskin yang bermurah hati hendak bersedekah, bersedekahlah ala kadar, asalkan tidak menyusahkan diri sendiri dan orang yang menjadi tanggungannya.

BAGAIMANA UNTUK SALURKAN SEDEKAH ANDA DI MAIS

Sumbangan sedekah yang diterima MAIS disalurkan antaranya kepada:

  • Bantuan kepada pihak hospital, pusat kesihatan dan klinik kesihatan;
  • Bantuan kepada badan keselamatan seperti PDRM dan RELA;
  • Bantuan kepada pelajar dan institusi pendidikan yang terjejas;
  • Bantuan kepada rumah kebajikan dan anak yatim yang terputus bekalan; dan
  • Bantuan kepada penduduk yang terputus bekalan.

HUBUNGI SEKTOR BAITULMAL

Sektor Baitulmal, Majlis Agama Islam SelangorTingkat 10 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul EhsanTel: 03-5514 3773 / 3772 · Faks: 03-5512 4042 · E-mel: [email protected]