Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 7 Jun 2012 telah menggariskan bahawa kriteria penerima asnaf al-riqab iaitu hendaklah:-
- 1Beragama Islam;
- 2Tiada mempunyai sumber kewangan yang mencukupi;
- 3Tidak mendapat bantuan daripada sumber-sumber lain;
- 4Telah mendapat pengesahan pihak MAIS untuk membebaskan dirinya dari belenggu yang dihadapi; dan
- 5Dengan rela hati mengikuti program pemulihan dan rawatan spiritual Islam yang dilaksanakan oleh pihak MAIS dan bersetuju menghadiri kelas-kelas bimbingan agama yang telah ditetapkan oleh pihak MAIS.
Untuk tujuan ini, MAIS telah memperkasakan Bahagian Pemulihan Al-Riqab bagi melaksanakan penyerahan bantuan secara sistematik kepada asnaf al-riqab yang memenuhi syarat-syarat tersebut di atas. Bantuan zakat asnaf al-riqab ini akan disalurkan oleh pihak MAIS melalui perantara mana-mana institusi, pusat, NGO Islam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf al-Riqab supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna menurut Islam.
Golongan al-riqab ini juga layak mendapat manfaat wang zakat melalui program pemulihan yang dilaksanakan oleh pihak MAIS dengan dibantu oleh NGO yang berdaftar dengan pihak MAIS bertujuan mendidik dan membimbing mereka menjadi mukmin yang diredhai Allah. Bantuan keperluan hidup juga turut diberikan kepada golongan ini. Sebagai contoh, asnaf al-riqab diberi bantuan sewa rumah agar mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal yang lebih baik agar mereka istiqamah dengan cara hidup bersyariat. Selain itu, bantuan kewangan bulanan juga diberikan kepada individu yang menjaga mereka supaya individu tersebut dapat memanfaatkan wang tersebut bagi menggalakkan asnaf al-riqab menghadiri kelas bimbingan yang dianjurkan oleh pihak MAIS. Bantuan-bantuan lain seperti bantuan modal perniagaan dan bantuan perubatan juga diberikan kepada asnaf al-riqab untuk meringankan beban kehidupan agar mereka semakin dekat dengan Allah.